Belajar melalui bermain adalah satu teknik
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan kepada kanak-kanak. Melalui teknik ini
juga akan mendatangkan keseronokkan dan kepuasan kepada mereka dalam sesuatu
pengajaran yang hendak disampaikan. Dengan bermain juga kanak-kanak akan dapat
menguasai perkembangan dan kemahiran fizikal serta penguasaan bahasa dari segi
perbendaharaan dan peraturan tatabahasa.
Menurut Caplan dan Caplan 1973, main adalah penting untuk
perkembangan kekuatan sahsiah, daya cipta, kestabilan emosi, perkembangan
sosial dan intelek di samping dapat memperkembangkan kekuatan fizikal,
koordinasi dan ketangkasan seseorang murid. Selain itu bermain adalah satu
bentuk kesenian kanak-kanak. Ia merupakan saluran untuk melahirkan perasaan dan
punca untuk mendapatkan kegembiraan dan keseronokan. Melalui permainan,
kanak-kanak mendapat tingkah laku yang baru. Kanak-kanak melibatkan diri dalam
permainan secara aktif.
Mengikut Vygotsky (1967) “Main membantu perkembangan
bahasa dan pemikiran. Struktur otak akan membentuk melalui penggunaan simbol
dan alat, ia juga membantu dalam pembentukan ini. Main juga memberi kebebasan
kepada kanak-kanak untuk meluahkan tekanan dalam menghadapi dunia sebenar.
Dalam cara ini kanak-kanak dapat mengawal situasi dan menyesuaikannya dalam
dunia sebenar. Mereka dibenarkan untuk memperolehi proses pemikiran yang tinggi
melalui bermain”. (Spodek et al. 1987, p. 181). Jerome Singer (Spodek,1987)
menganggap “imaginative play” sebagai usaha kanak-kanak menggunakan kebolehan
fizikal dan mental mereka dalam menyusun pengalaman. Beliau juga berpendapat
bahawa dalam permainan, kanak-kanak meneroka alam yang boleh menjadikan mereka
berkebolehan dalam menghadapi masalah persekitaran dan boleh menjadikan mereka
kreatif.
Kanak-kanak belajar melalui permainan kerana permainan
merupakan cara semula jadi kanak-kanak mengenal dunia dan persekitarannya. Ada
pelbagai teori tentang tujuan dan fungsi permainan. Melalui permainan, mereka
dapat mempelajari peranan-peranan individu mereka. Kedua, telah didapati
kanak-kanak mempunyai tenaga yang berlebihan dan kita dapati kanak-kanak
sentiasa bermain sama ada di dalam ataupun di luar tadika. Menurut teori
cathartic, adalah dipercayai kanak-kanak menggunakan permainan sebagai cara
menghilangkan rasa kekecewaan dan emosi serta mengurangkan ketegangan. Menurut
Piaget pula, permainan memainkan peranan asimilasi, iaitu kanak-kanak boleh
menerima maklumat yang membantu perkembangan melalui permainan.
Pelaksanaan pendekatan belajar melalui bermain hendaklah
dijalankan dengan mengambil kira hasil pembelajaran yang ingin dicapai dan
ditentukan. Bahan juga perlu sesuai dan berfaedah kepada perkembangan
kanak-kanak. Bahan konkrit, benar dan bermakna disediakan untuk menggalakkan
komunikasi dan imaginasi. Dan yang paling penting ialah permainan itu
menarik minat dan menggembirakan kanak-kanak.
Melalui pendekatan ini juga akan dapat mengukuhkan
penguasaan konsep pembelajaran dari umum kepada yang lebih spesifik. Ia juga
dapat meningkatkan keupayaan kognitif. Selain itu bersosialisasi dengan rakan
sebaya dan orang dewasa. Pendekatan ini juga dapat meningkatkan penguasaan
kemahiran emosi, mengukuhkan perkembangan fizikal, menguasai kemahiran
manipulasi, menguasai daya reka cipta secara konstruktif dan di harap
kanak-kanak dapat melahir dan menyatakan perasaan sendiri. Terdapat beberapa
cara untuk bermain seperti bermain air, meneroka alam dan bermain pasir
Tiada ulasan:
Catat Ulasan