-->

Isnin, 22 April 2013

Kemudahan Ruang Dalam di PAPN Papar


Ruang Dalaman Pusat Anak PERMATA Negara, Papar

Bilik-bilik disediakan untuk tujuan perlaksanaan aktiviti kanak-kanak.
Ianya juga digunakan sebagai bilik persalinan dan bilik tidur. 

Ruang Dalam Bilik
Ruang Dalam Bilik

Ruang Utama Untuk Perlaksanaan aktiviti Pembelajaran Kanak-kanak

Ruang Makan. Disediakan sinki mengikut saiz kanak-kanak bagi
memudahkan kanak-kanak membasuh tangan  dan menggosok gigi.



Khamis, 21 Mac 2013

Kemudahan Bermain di PAPN Papar


Takungan Pasir



Bermain Pasir; kita tidak semestinya memerlukan satu kaedah yang betul dan benar untuk bermain pasir. Kita boleh bermain dengan pelbagai cara yang tersendiri. Apabila kanak-kanak bermain pasir, mereka boleh menggali, menuang, menyedok, membawa, melukis diatasnya, membuat laluan, meneka, mengira dan pelbagai lagi cara yang boleh merangsang penerokaan dan mencipta penemuan kanak-kanak. Kanak-kanak boleh bermain secara sendirian, bersebelahan dengan rakan mereka atau bersama dengan rakan mereka. Banyak manfaat yang diperoleh dengan bermain contohnya membina perkembangan motor kasar dan halus, pendedahan kepada konsep matematik dan sains, membina perkembangan emosi, sosial dan bahasa.




Kolam Air

Seperti juga bermain pasir, tidak ada cara yang spesifik dalam menentukan corak belajar melalui bermain air. Sebagai contoh, semasa kanak-kanak menuang air, mereka telah meningkat koordinasi mata dan tangan serta kemahiran fizikal mereka. Semasa mambasuh permainan dan meniup buih bersama rakan-rakan mereka sebenarnya telah membangunkan kemahiran sosial. Pada masa yang sama, mereka menggunakan minda mereka untuk meneroka bagaimana sesetengah objek tenggelam dan sesetengah objek timbul di dalam air. Kanak-kanak boleh belajar konsep kosong-penuh, sebelum-selepas, cetek-dalam dan berat-ringan secara latihan melalui bermain. Percambahan perbendaharaan kata kanak-kanak juga boleh berlaku.
Apabila kanak-kanak meluangkan masa yang agak panjang bermain di sinki semasa membasuh tangannya, sebenarnya mereka telah bersedia untuk melakukan permainan air yang menakjubkan. Peringkat pertama bermain air ialah permainan berfungsi (functional play). Kanak-kanak meneroka air dengan deria mereka; bagaimana air memercik, mengalir, melimpah, dan berubah apabila dimasukkan sabun. Daripada ini mereka belajar apa itu air dan apa yang boleh dilakukan menggunakan air. Selepas permainan berfungsi, seterusnya ialah permainan membina (constructive play). Pada peringkat ini, kanak-kanak beralih daripada meneroka air kepada menggunakan air contohnya, menuang air pada patung seolah-olah memberinya mandi.
Peringkat seterusnya, permainan air dikembangkan kepada kaedah main peranan contohnya memadam kebakaran. Alat bantu yang terbaik boleh di cipta oleh kanak-kanak itu sendiri. Contohnya, sekiranya kumpulan kanak-kanak tertarik kepada aktiviti memancing, maka pendidik boleh menyarankan mereka untuk menghasilkan ikan sebagai bahan bantu. Pendidik boleh bertanya kepada kanak-kanak apa yang mereka perlu dan bagaimana mereka boleh mendapatkannya atau membuatnya. Ini boleh membuka peluang kanak-kanak untuk lebih kreatif dan menjana idea mereka. Membuat sampan juga merupakan salah satu cara yang boleh digunakan oleh kanak-kanak untuk meneroka konsep tenggelam dan timbul.

Rabu, 20 Februari 2013

Belajar Melalui Bermain


Belajar melalui bermain adalah satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang berkesan kepada kanak-kanak. Melalui teknik ini juga akan mendatangkan keseronokkan dan kepuasan kepada mereka dalam sesuatu pengajaran yang hendak disampaikan. Dengan bermain juga kanak-kanak akan dapat menguasai perkembangan dan kemahiran fizikal serta penguasaan bahasa dari segi perbendaharaan dan peraturan tatabahasa.
            Menurut Caplan dan Caplan 1973, main adalah penting untuk perkembangan kekuatan sahsiah, daya cipta, kestabilan emosi, perkembangan sosial dan intelek di samping dapat memperkembangkan kekuatan fizikal, koordinasi dan ketangkasan seseorang murid. Selain itu bermain adalah satu bentuk kesenian kanak-kanak. Ia merupakan saluran untuk melahirkan perasaan dan punca untuk mendapatkan kegembiraan dan keseronokan. Melalui permainan, kanak-kanak mendapat tingkah laku yang baru. Kanak-kanak melibatkan diri dalam permainan secara aktif.
            Mengikut Vygotsky (1967) “Main membantu perkembangan bahasa dan pemikiran. Struktur otak akan membentuk melalui penggunaan simbol dan alat, ia juga membantu dalam pembentukan ini. Main juga memberi kebebasan kepada kanak-kanak untuk meluahkan tekanan dalam menghadapi dunia sebenar. Dalam cara ini kanak-kanak dapat mengawal situasi dan menyesuaikannya dalam dunia sebenar. Mereka dibenarkan untuk memperolehi proses pemikiran yang tinggi melalui bermain”. (Spodek et al. 1987, p. 181). Jerome Singer (Spodek,1987) menganggap “imaginative play” sebagai usaha kanak-kanak menggunakan kebolehan fizikal dan mental mereka dalam menyusun pengalaman. Beliau juga berpendapat bahawa dalam permainan, kanak-kanak meneroka alam yang boleh menjadikan mereka berkebolehan dalam menghadapi masalah persekitaran dan boleh menjadikan mereka kreatif.
            Kanak-kanak belajar melalui permainan kerana permainan merupakan cara semula jadi kanak-kanak mengenal dunia dan persekitarannya. Ada pelbagai teori tentang tujuan dan fungsi permainan. Melalui permainan, mereka dapat mempelajari peranan-peranan individu mereka. Kedua, telah didapati kanak-kanak mempunyai tenaga yang berlebihan dan kita dapati kanak-kanak sentiasa bermain sama ada di dalam ataupun di luar tadika. Menurut teori cathartic, adalah dipercayai kanak-kanak menggunakan permainan sebagai cara menghilangkan rasa kekecewaan dan emosi serta mengurangkan ketegangan. Menurut Piaget pula, permainan memainkan peranan asimilasi, iaitu kanak-kanak boleh menerima maklumat yang membantu perkembangan melalui permainan.
            Pelaksanaan pendekatan belajar melalui bermain hendaklah dijalankan dengan mengambil kira hasil pembelajaran yang ingin dicapai dan ditentukan. Bahan juga perlu sesuai dan berfaedah kepada perkembangan kanak-kanak. Bahan konkrit, benar dan bermakna disediakan untuk menggalakkan komunikasi dan imaginasi. Dan yang paling penting ialah permainan itu menarik minat dan menggembirakan kanak-kanak.
            Melalui pendekatan ini juga akan dapat mengukuhkan penguasaan konsep pembelajaran dari umum kepada yang lebih spesifik. Ia juga dapat meningkatkan keupayaan kognitif. Selain itu bersosialisasi dengan rakan sebaya dan orang dewasa. Pendekatan ini juga dapat meningkatkan penguasaan kemahiran emosi, mengukuhkan perkembangan fizikal, menguasai kemahiran manipulasi, menguasai daya reka cipta secara konstruktif dan di harap kanak-kanak dapat melahir dan menyatakan perasaan sendiri. Terdapat beberapa cara untuk bermain seperti bermain air, meneroka alam dan bermain pasir

Rabu, 30 Januari 2013

Permohonan Kemasukan Anak ke Pusat Anak PERMATA Negara

CARA UNTUK MEMOHON KEMASUKAN ANAK KE PUSAT ANAK PERMATA NEGARA 

Orang ramai perlu mengisi borang permohonan kemasukan anak ke PAPN yang boleh didapati di Pusat Anak PERMATA Negara Papar. Borang ini juga boleh dimuat turun dengan klik pada Borang Permohonan Kemasukan Anak di blog ini.

Borang permohonan yang dihantar perlu disertakan sekali dengan:

· Salinan sijil lahir anak dan mykid (disahkan)

· Salinan kad pengenalan ibu dan bapa (disahkan)

· Salinan slip gaji ibu dan bapa (disahkan)





Latarbelakang Pusat Anak PERMATA Negara, Papar



Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) Papar mula beroperasi pada tahun 2013 hasil kerjasama Bahagian Pendidikan Awal Kanak-kanak (PERMATA), Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah serta Jabatan Hal Ehwal Wanita. Penyediaan infrastruktur di PAPN ini akan membantu dalam proses pembelajaran kanak-kanak melalui aktiviti bermain. 





APAKAH ITU PERMATA?

PERMATA merupakan satu program pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak di bawah Kerajaan Malaysia. Program ini menawarkan pendekatan alternatif dalam asuhan dan didikanawal kanak-kanak di bawah umur 5 tahun. Penekanan diberi kepada rangsangan minda dengan kaedah meneroka, mengeksperimen dan mengalami melalui permainan. 


KURIKULUM PERMATA MERANGKUMI 6 ASPEK PERKEMBANGAN

  1. Sahsiah, sosio-emosi dan kerohanian 
  2. Bahasa, komunikasi dan literasi awal 
  3. Awal matematik dan pemikiran logik 
  4. Sensori dan pemahaman dunia persekitaran 
  5. Estetika dan kreativiti 
  6. Fizikal

KEISTIMEWAAN KURIKULUM PERMATA

Program PERMATA dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan ibu bapa, komuniti dan pelbagai agensi melalui pemberian pelbagai perkhidmatan termasuk kesihatan, pemakanan dan kaunseling.

Ibu bapa memainkan peranan penting di dalam program PERMATA kerana mereka perlu terlibat secara aktif di dalam aktiviti anak-anak di PAPN sekurang-kurangnya 4 jam sebulan seperti yang dipersetujui dalam surat akujanji.

Kaedah meneroka, mengeksperimen dan mengalami melalui permainan yang ditekankan di dalam kurikulum pembelajaran PERMATA adalah amat bersesuaian dan menyeronokkan kanak-kanak.







Sabtu, 19 Januari 2013

Salam Perkenalan....


Assalamualaikum.., Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia..


Khas untuk anak-anak dan komuniti setempat yang terpilih di pekan Papar ni...Inilah PUSAT ANAK PERMATA NEGARA, PAPAR. InsyaAllah anak-anak anda akan berpeluang untuk belajar melalui bermain di pusat ini serta anda akan berpeluang untuk menyumbang kepada pembangunan insan di Pusat Anak PERMATA Negara di Papar, Sabah khususnya dan negara secara amnya. Amin Ya Rabbal Alamin...semoga usaha murni kita akan diberkati oleh yang Maha Pencipta, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.


Untuk pengetahuan semua gambar di atas adalah gambar 'centre' kami (Gambar diambil daripada pandangan hadapan dan belakang bangunan Pusat Anak Permata Negara, Papar) yang baru diserahkan pada 18 Disember 2012. Kami sebagai pendidik telah melapor diri pada 2 Januari 2013 dan gambar ini diambil pada tarikh kami melapor diri. 

Pusat Anak PERMATA Negara, Papar akan selalunya dinyatakan sebagai PAPN Papar dalam penulisan kami nanti. Harap pembaca semua tidak terkeliru dengan singkatan tersebut. 

Kurikulum PERMATA  bermatlamat untuk menyediakan program asuhan dan pengalaman pembelajaran awal kanak-kanak berumur 0 - 4 tahun ke arah perkembangan holistik dengan mengambilkira kepelbagaian potensi kanak-kanak, berasaskan kaedah belajar melalui bermain. Anda juga boleh melakukannya di rumah serta melibatkan diri di centre kami untuk kepentingan anak-anak anda. Perlu kita ingat..Ibu bapa adalah guru pertama manakala kami sebagai pendidik..menyokong peranan ibu bapa. Bermainlah dan bimbinglah anak-anak anda secara positif dan menyeronokkan.

Dimana lokasi kami? anda tahu dimana Pejabat Kesihatan Daerah Papar? atau Masjid Pekan Papar? Jalan Tanjung Pagar? kami beberapa langkah jer dari situ..jumpa kami di sini ya.. ;-)

 Baiklah..kami menjemput anda semua untuk bersama-sama menjayakan usaha murni ini dengan penuh keikhlasan. Segala yang baik datangnya daripada Yang Maha Pencipta dan yang buruk itu datangnya daripada kami sendiri.

Kami mengharapkan agar anda menyokong kami dan sentiasa memberikan cadangan serta nasihat kepada kami untuk kepentingan bersama. Terima Kasih... :-) Jumpa lagi untuk catatan yang seterusnya...senyum selalu..